Ogo 02

Update Pembinaan Surau Ar-Rahman

Kerja-kerja pembinaan surau baharu SMK Jalan Reko, Surau Ar-Rahman sedang giat dilakukan. Tiang-tiang dan dinding sudah pun dinaikkan. In shaa Allah, surau ini akan siap dalam masa 3-4 bulan lagi. Walau bagaimanapun, pihak sekolah masih memerlukan sumbangan orang ramai untuk pembinaan surau ini sehingga siap.

Sempena bulan Zulhijjah ini, marilah kita sama-sama menginfaqkan sedikit harta kita ke jalan Allah SWT. Semoga Allah menerima semua amalan kita. Terima kasih kepada tuan/puan yang telah menyumbang kepada pembinaan Surau Ar-Rahman ini.

*Sila tuliskan DERMA SURAU jika tuan puan ini mendeposit secara online supaya mudah pihak Bendahari PIBG mengasingkan duit derma tuan/puan untuk tujuan pembinaan surau ini.

** Artikel terdahulu https://kejorareko.edu.my/2019/07/05/upacara-pecah-tanah-surau-smk-jalan-reko/

Jul 30

Perkampungan Ilmu 2019

Pada hari Sabtu yang lalu (27 Julai 2019), SMK Jalan Reko telah menganjurkan satu program yang dinamakan Perkampungan Ilmu Berfokus SPM bagi murid-murid Tingkatan 5. Program ini diadakan bertujuan untuk menyediakan murid-murid ini dari segi mental, intelek dan rohani bagi menghadapi peperiksaan SPM yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Program ini telah diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dari jam 8.00 pagi – 5.00 petang. Antara pengisian yang yang dibuat sepanjang hari itu ialah Teknik Menjawab Soalan bagi mata pelajaran BM, BI, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Beberapa Guru Cemerlang di sekitar daerah Hulu Langat dan Sepang telah dijemput untuk memberi tunjuk-ajar serta tips-tips cara menjawab soalan-soalan berbentuk KBAT kepada calon-calon SPM 2019.

Program ini telah disertai oleh 267 orang murid Tingkatan 5 serta  59 orang guru-guru SMKJR. Tujuh buah bas telah disewa dan murid-murid bertolak dari sekolah seawal jam 7.45 pagi. Bagi murid-murid Tingkatan 3 yang bakal menghadapi PT3, Program Kilauan Kejora telah diadakan pada hari itu juga di SMK Jalan Reko.

Pihak sekolah ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para ibu bapa, murid, guru serta penceramah  jemputan dan tidak lupa pihak KUIS atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan program ini. Semoga anak-anak kita mendapat ilmu yang bermanfaat untuk mereka gunakan bagi menghadapi peperiksaan kelak. Semoga Allah memberi ganjaran atas usaha-usaha murni kita ini. Aamiinn.

Reko Mara Reko Jaya

 

Jul 18

Tahniah Kokurikulum SMKJR

SMK Jalan Reko sememangnya menyerlah dalam bidang kokurikulum sejak dahulu lagi. Baru-baru ini, unit Pandu Puteri sekolah ini telah menyertai pelbagai pertandingan di peringkat Daerah dan memenangi bermacam-macam acara. Pencapaian ini amatlah membanggakan.

Unit Puteri Islam pula telah telah menjadi Naib Johan Kompang Formasi pada pertandingan Hari Puteri Daerah Hulu Langat 16 Julai 2019 yang lalu.

Pasukan Kabaddi sekolah ini pula telah menjadi Johan Kabaddi MSSD Hulu Langat bagi kategori B15 (Perempuan) pada 16 Julai 2019 yang lalu. Manakala pasukan Kabaddi B18 (Perempuan) pula telah mendapat tempat ketiga pada kejohanan itu.

Pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian-pencapaian yang telah dicapai oleh unit-unit kokurikulum sekolah ini kerana telah mencapai kejayaan yang cemerlang sekali gus mengharumkan nama sekolah ini di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada semua warga SMK Jalan Reko untuk terus bergerak aktif dalam bidang kokurikulum. Tahniah kepada para guru dan murid-murid yang terlibat. Anda memang hebat!

Reko Mara Reko Jaya

 

 

Halaman 3 daripada 341234567...2030...Akhir »