Mac 24

Program Kilauan Kejora

Pihak sekolah ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada murid-murid dan para guru sekolah ini yang telah menjayakan Program Kilauan Kejora (Kelas Tambahan Tingkatan 3 dan 5) Siri 1 dan 2. Banyak lagi siri yang akan berlangsung sepanjang tahun ini seperti yang telah dirancang oleh pihak sekolah. Diharap murid-murid yang terlibat dalam program ini mengambil peluang untuk hadir ke Program Kilauan Kejora 2019 ini.

 

Mac 22

Mesyuarat Agung PIBG Ke-25

Pada 9 Mac (Sabtu) yang lalu SMK Jalan Reko telah mengadakan Mesyuarat Agung PIBG yang ke-25. Para ibu bapa, murid dan guru mula membanjiri Dataran Cendekiawan seawal jam 7.30 pagi Mesyuarat ini bermula lebih kurang jam 8.45 pagi dengan perarakan masuk para pentadbir sekolah dan tetamu-tetamu khas. Majlis dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Selangor.

Selepas itu Ustaz Mohd Rashidi bin Jusoh membacakan doa bagi memohon keberkatan Allah SWT bagi majlis tersebut. Seterusnya YDP PIBG SMK Jalan Reko, Ir. Dr. Zambri bin Harun menyampaikan ucapan dan membentangkan segala aktiviti PIBG sekolah ini bagi tahun lepas. Sebaik sahaja Ir. Dr. Zambri bin Harun selesai menyampaikan ucapan, tiba giliran Tuan Pengetua SMK Jalan Reko, Pn. Maimun binti Mohamed pula menyampaikan amanatnya.

Kemudian, tetamu kehormat majlis ini, YBhg Dato’ Haji A. Rahman bin Safar, Naib Presiden KLIA Premier Holding Sdn. Bhd. pula mengambil tempat memberikan ucapan dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMKJR yang ke-25. Beliau juga merasmikan Pelancaran Tabung Surau Ar Rahman yang bertujuan mengutip dana bagi pembinaan surau baru di sekolah ini.

Selepas itu para tetamu dihiburkan dengan persembahan Kelab Kebudayaan SMKJR dan juga cabutan bertuah. Selepas itu sesi perbahasan usul oleh ibu bapa telah berlangsung dengan lancar. Banyak perkara telah dibincangkan semasa mesyuarat agung ini bertujuan untuk meningkatkan prestasi akademik dan kokurikulum murid-murid. Akhir sekali, ahli jawatankuasa PIBG yang baharu telah dibentuk melalui undian.

Pihak sekolah ingin mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua tetamu, ibu bapa, para guru, murid-murid dan semua pihak yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi bagi menjayakan majlis ini. Semoga dengan adanya AJK PIBG yang baharu ini, sekolah ini akan menjadi lebih cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah murid. Terima kasih semua.

 

 

Jan 06

Pengetua Baharu SMKJR

Warga SMK Jalan Reko amat berbesar hati menyambut ketibaan Pengetua yang baharu, Pn. Maimun Binti Mohamed. Sekalung ucapan tahniah kami ucapkan kepada Pn. Maimun atas pelantikan beliau sebagai Pengetua yang baharu di SMK Jalan Reko. Beliau secara rasminya hadir ke sekolah ini pada 3 Januari 2019. Sebelum ini beliau berkhidmat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Bandar Puchong Jaya (B). Untuk pengetahuan semua, Pn. Maimum mempunyai opsyen dalam mata pelajaran Sejarah.

Semoga dengan hadirnya Pn. Maimun sebagai Pengetua di SMK Jalan Reko, beliau dapat memimpin dan membawa sekolah ini ke tahap yang lebih cemerlang dari semasa ke semasa.

Selamat Datang Puan Maimun Binti Mohamed ke SMK Jalan Reko

Reko Mara Reko Jaya

Halaman 6 daripada 34« Pertama...3456789...2030...Akhir »